UMP Solar Traveller Kit (UST-Kit)
Projek Inovasi FKEE bersama komuniti Kuala Koh
Gua Musang, 22 Mei- Selaras dengan Pelan Strategik UMP 2016 – 2020 bertemakan Memasyarakatkan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) menjalankan projek inovasi sosial dengan mencipta satu produk berteknologi hijau iaitu UMP Solar Traveller Kit (UST-Kit) yang menggunakan tenaga solar untuk menjana tenaga elektrik.
Melalui inovasi baharu ini menjadikan solar sebagai salah satu punca bagi menjana elektrik tetapi mempunyai kelebihan mudah alih (Portable kit) yang mudah di bawa kemana-mana. Sebagai projek pilot, Taman Negara Kuala Koh, Kelantan di bawah Jabatan Perhilitan Kelantan telah dipilih untuk dijadikan penanda aras inovasi teknologi hijau ini.
Menurut Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Kamarul Hawari Ghazali berkata, Taman Negara Kuala Koh terkenal dengan kehijauan dan keindahan semula jadi yang menjadi tarikan pelancong dan warga Malaysia yang meminati dan mencintai alam sekitar. Taman Negara ini juga menempatkan beberapa kelompok Orang Asli yang menjadi penghuni di Kuala Koh.
“Kekurangan bekalan elektrik di kawasan ini menjadi kekangan kepada penghuni dan juga pengunjung yang datang untuk melakukan aktiviti sama ada penyelidikan, pengembaraan atau mengisi masa lapang. UST-Kit dapat membantu mereka untuk memudahkan urusan pihak Perhilitan Kelantan di Taman Negara ini,” katanya.
Selain itu, ianya boleh menjana pendapatan dengan menyewakan kepada pengunjung yang datang untuk melakukan aktiviti sama ada penyelidikan, pengembaraan atau menikmati kemudahan alam sekitar. Penyelidik telah beberapa kali berkampung selama tiga hari dua malam di Taman Negara Kuala Koh bagi mengkaji kecekapan dan keberkesanan USTK dengan tidak di lengkapi dengan sumber elektrik yang lain.
Profesor Madya Dr. Kamarul berkata, pihaknya juga menjalankan khidmat komuniti bsama warga Orang Asli serta menyampaikan bantuan sumbangan apatah lagi dalam suasana menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Sementara itu, penyelidik UMP, Muhammad Ikram Mohd. Rashid berkata, UST-Kit dapat membekal elektrik menggunakan tenaga solar yang mana ianya mampu memberi kemudahan pencahayaan pada waktu malam di samping digunakan untuk kemudahan seharian selama 8 Jam melalui kapasiti 300 watt.
UST-kit ini dilengkapi dengan lampu LED dan pengecas bateri yang boleh digunakan untuk telefon mahupun lampu persendirian. USTK menggunakan panel solar untuk menukar cahaya matahari kepada elektrik dan tenaganya disimpan di dalam bateri penyimpan berkapasiti tinggi.
Turut berlangsung program kemasyarakatan Kelab EEES dan PROSIS bersama masyarakat Orang Asli dalam program perkongsian pintar, dakwah ummah orang kita dan pemeriksaan kesihatan.