Persatuan MATAHARI Sumbang Lembu Sempena Ramadan
Ramadan yang bermula hari ini lebih bermakna khususnya buat Persatuan Wanita Uiniversiti Malaysia Pahang (Matahari) apabila persatuan ini menyumbang seekor lembu bagi persediaan berbuka puasa warga UMP mengikut giliran hari yang ditetapkan universiti.
Selain itu, Persatuan Matahari juga mengimarahkan Ramadan kali ini dengan mengambil inisiatif mengumpulkan pelbagai bentuk sumbangan dengan nilai lebih RM3,000.
Antara sumbangan tersebut wang tunai, telekung, Al-Quran dan Surah Yassin untuk digunakan seluruh warganya di Masjid UMP.
Inisiatif yang bermula sejak awal Julai lalu mendapat sambutan ramai staf daripada jabatan dan fakulti di UMP dan diharapkan dapat memakmur dan mengimarahkan lagi surau di UMP termasuk surau UMP Pekan sepanjang bulan Ramadan ini.
Sumbangan disampaikan oleh Presiden Matahari, Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim kepada Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), Dr. Hasan Ahmad dengan disaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim pada 9 Ogos 2010 yang lalu bersempena Majlis Serahan Sumbangan Staf Sempena Ihya Ramadan yang diadakan di Dewan Bankuet Canseleri, UMP Kampus Gambang.