Sukarelawan UMP Kongsi Kepakaran dengan masyarakat Tammalang
Seramai 35 orang mahasiswa terdiri dari pelbagai fakulti menjayakan program Global Student Outreach(GSO) @ Thailand 2017 anjuran Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) 2 dan Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) bertempat di Kampung Tammalang, Satun,Thailand selama tujuh hari baru-baru ini.
Program dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Pusat Kesihatan UMP dan Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) ini memfokuskan 11 sub-program yang turut menerapkan elemen memasyarakatkan teknologi dalam beberapa aktiviti.
Bertemakan With Love We Serve, program dirasmikan Sobri Matman yang mewakili Gabenor Wilayah Satun. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Pengetua Kolej Kediaman 2, Nasrul Salim Pakheri dan penasihat program, Mohd Ferdaus Musa.
Menurut Dato’ Dr. Yuserrie, program kesukarelawanan ini memberi peluang kepada pelajar menjiwai semangat saling bantu-membantu dan berkongsi kepakaran mereka dengan kerja lapangan yang boleh memanfaatkan komuniti setempat.
“Pelajar mengadakan pemeriksaan kesihatan, menjalankan pemeriksaan pendawaian elektik rumah dan memasang lampu LED yang lebih menjimatkan, bergotong –rorong dalam kenduri sekampung dan program berkhatan. Dengan bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka malahan dengan membaiki kebocoran dan mengecat semula bot nelayan ini bagi memudahkan mereka mencari rezeki,” katanya.
Beliau juga turut meluangkan masa beramah mesra bersama peserta berkhatan dan masyarakat kampung serta membantu pelajar UMP mengecat bot.
Sementara itu, pengarah program GSO Thailand 2017, Muhammad Alif Mahiddin, 23 dari Fakulti Kejuruteraaan Kimia dan Sumber Asli (FKASA) berkata, pelajar berpeluang tinggal bersama masyarakat di sini dan berkongsi budaya dengan penduduk di sini.
Mereka juga turun padang membantu kanak-kanak dalam modul pendidikan dan penjagaan kesihatan termasuk cara membasuh dengan betul, penjagaan rambut, gigi dan kuku. Selain itu mereka juga diajar menggunakan komputer
Lebih 1,000 orang dalam kalangan masyarakat setempat hadir dalam Forum Perdana yang dihadiri penceramah jemputan, Pencetus Ummah (PU) Muhammad Hafiz Bin Mohd Haneefa yang banyak berkongsi tentang kisah Nabi Muhammad SAW dan sumbangan baginda kepada Islam sejagat.
Pada kali ini UMP turut menyampaikan sumbangan kepada Tadika Nur Al-Naim dan Masjid Kampung Tammalang Hilir Satun berbentuk papan putih, meja belajar, Al-Quran, naskah Surah Yassin, telekung dan sejadah yang dikumpulkan daripada beberapa badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Matahari UMP dan beberapa individu Malaysia.