MyGift - An Everlasting Gift

ISKANDAR UMP memasyarakatkan teknologi dengan penanaman cendawan

Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR) memberi bimbingan dalam penanaman cendawan Volvariella Volvacea dalam meningkatkan pendapatan bersama penduduk Kampung Sepinang, Segamat Johor baru-baru ini.
 
Menurut Penasihat  ISKANDAR,  Abd. Rahman Hj. Safie yang juga merupakan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP berkata program ini telah mengetengahkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan pelajar UMP, penduduk dan agensi kerajaan yang bergabung idea serta tenaga memberikan ilmu baharu kepada mahasiswa serta memanfaatkan penduduk setempat.

“Projek mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, YB Norshida Ibrahim dan Pegawai Daerah Segamat, Haji Mohd Haffiz  Haji Ahmad  serta Jabatan Pertanian Negeri.
  
“Penglibatan pelajar UMP dalam  menjayakan projek ini amat dibanggakan apatah lagi  mereka ini tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Walaupun kebanyakan mereka mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, namun mereka mampu untuk belajar menguruskan projek ini sehingga berjaya,” katanya.

Selain itu, pelajar juga kompeten dan mampu menjadi  perunding untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah di seluruh negeri Johor untuk menjalankan projek tanaman seperti ini. Malah mereka juga berhasrat untuk mengembangkan tanaman ini di negeri Pahang yang boleh dijadikan landasan untuk pelajar berbakti di mana-mana sahaja.

Menurut  Pengarah Program, Muhammad Alif Mahiddin,23 yang merupakan pelajar tahun 3 dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) berkata, projek ini dapat membantu meningkatkan pendapatan peserta di samping  memberi ilmu pengetahuan mengenai konsep penanaman dan perniagaan cendawan Volvariella Volvacea.

Katanya, menerusi projek ini juga dapat  memberi pulangan pendapatan untuk penduduk kampung terbabit malah usaha pelajar berkenaan telah memberi pendedahan kepada mereka sendiri tentang ilmu pertanian dan perniagaan.
 
“Cendawan Volvariella ini ditanam menggunakan kaedah yang diperkenalkan oleh Pejabat Pertanian Daerah Padang Terap, Kedah  menggunakan tandan sawit kosong (EFB) sebagai medium penanaman.Selain daripada kos penanamannya yang rendah, pengurusannya yang mudah, membolehkan tanaman ini dijalankan secara sambilan di samping mengurus tanaman sedia ada,” ujarnya.

Program Duta Jauhar ini telah dicetuskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan dikelola oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat Johor yang melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh Malaysia yang melibatkan mahasiswa anak-anak Johor untuk pulang berbakti kepada masyarakat berdasarkan kepakaran masing-masing.

Dalam projek ini mereka diajar menghasilkan tanaman ini, cara-cara menanam dan bagaimana untuk memasarkan tanaman ini di sekitar Segamat kerana tanaman ini agak asing bagi masyarakat setempat dan tempoh jangka hayatnya hanya tahan untuk tempoh sehari sahaja.

Bagi seorang  peserta  Nor Ashikin Chin Abdullah, 43, merasa bertuah kerana telah terpilih sebagai peserta projek ini yang membantu meningkatkan pendapatan keluarganya. Tanaman ini memerlukan jualan dengan kadar cepat dan selain dijual di sekitar Segamat dan pada masa ini satu kerjasama sedang diusahakan bagi mengkomersilkan cendawan ini melalui penghasilan produk serunding menggunakan cendawan Volvariella yang lebih tahan lama.