UMP Serah Sumbangan Buat Asnaf Kuala Pahang
Lebih 500 penduduk Kuala Pahang hadir pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan pada tahun ini.
Kemeriahan dapat dirasakan tatkala sebahagian staf dan pelajar UMP kampus Pekan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa yang diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kuala Pahang pada 7 Ogos 2012 yang lalu.
Program yang berlangsung seawal jam 9.00 pagi dimulakan dengan aktiviti melapah daging, menyediakan bahan masakan, memasak dan menghidang yang diadakan secara bersama melibatkan masyarakat kampung, staf dan juga pelajar UMP.
Antara juadah yang disediakan termasuk menu tradisi masyarakat Kuala Pahang sebagai sajian utama seperti Gulai Kawah, Masak Lemak Umbut Nyiur Lada Hitam, Bubur Pulut Hitam, Ikan Tongkol Masak Sambal dan kuih tradisi seperti Akok dan Nekbat.
Penganjuran program ini dapat memupuk semangat kejiranan, beramah mesra dan mengeratkan lagi jalinan ikatan yang sedia ada serta mendapat sokongan dan kerjasama yang cukup baik daripada masyarakat Kuala Pahang yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan dan penduduk kampung.
Dalam majlis ini seramai 81 orang asnaf dipilih daripada golongan warga emas menerima sumbangan berupa hamper barangan keperluan seperti beras, minyak masak, susu dan gula hasil sumbangan kutipan derma staf UMP Pekan dan orang perseorangan.