UMP terima zakat 250 ribu bantu ringankan beban pelajar
Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan zakat sebanyak 150 ribu dari Etiqa Takaful Berhad dan 100 ribu dari Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dalam satu majlis penyerahan sumbangan yang diadakan pada 12 September 2014 yang lalu bertempat di UMP Kampus Gambang.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat agensi bagi membantu pelajar UMP yang mempunyai masalah kewangan dalam pengajian mereka.
Bantuan zakat yang disalurkan ini membolehkan pengurusan keperluan asas dan kebajikan para mahasiswa UMP sama ada dalam kalangan pelajar kanan (senior) atau yang baharu dapat dipantau secara menyeluruh.
Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) dan Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) diminta untuk lebih peka terhadap keperluan pelajar, khususnya kes-kes tulen berkaitan kemiskinan, putus belanja, hilang punca pendapatan dan membabitkan keretakan keluarga memandangkan mahasiswa yang menghadapi masalah ini lazimnya tidak cenderung untuk tampil berkongsi masalah kewangan mereka.
Situasi ini sekiranya dibiarkan berterusan, dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada aras pencapaian akademik mahasiswa tersebut dan melarat pula kepada masalah-masalah yang lain.