12 beradik gembira terima sumbangan dalam Program Jejak Asnaf UMP
Program Jejak Asnaf Fakir Miskin anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 11 Julai 2015 yang lalu meninggalkan kenangan bermakna buat mahasiswa UMP yang menuntut di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), Nur Juaini Mohd Husni bersama keluarganya yang tinggal di rumah pangsa PPR Seri Alam, Kuala Lumpur.
Program dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan UMP Advanced Education (UAE) itu juga turut memberi peluang warga universiti untuk turun padang menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti bantuan bekalan makanan, keperluan harian serta baju raya untuk mereka merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sepanjang Ramadan, program ini berjaya menjejaki lebih 20 keluarga dari golongan asnaf yang fakir dan miskin yang tinggal terutamanya di sekitar Kuantan dan Pekan.
Keluarga ini mempunyai 12 orang adik-beradik yang masih bersekolah pada usia empat tahun hingga 19 tahun manakala ayahnya hanya berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga.
Persatuan Wanita UMP (Matahari) juga mengambil inisiatif mengumpul dana untuk menyumbang barang kemudahan kegunaan keluarga ini termasuk menceriakan persekitaran rumah serta keperluan raya dan pakaian baru.
Selain menerima barangan dan kelengkapan rumah, mereka sekeluarga juga berpeluang menikmati juadah berbuka puasa bersama Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama isteri, Datin Fazia Ali di sebuah restoran terkenal di Kuala Lumpur.
Hadir sama Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), Profesor Dr. Zularisam Ab. Wahid, Pengerusi Persatuan Wanita UMP, Profesor Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.