UMP Jejak Asnaf Serah Sumbangan Untuk Fakir Miskin
Dalam usaha memasyarakatkan kampus, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif mendekati masyarakat dalam Program Jejak Asnaf Fakir Miskin yang dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam menjalani kesempitan kehidupan seharian terutamanya ketika umat Islam menjalani ibadah berpuasa pada bulan Ramadan.
Program yang dijalankan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) pada 25 Jun 2015 yang lalu sempena Festival Ramadan pada tahun ini berjaya menjejaki 11 golongan asnaf yang fakir dan miskin yang tinggal di sekitar Kuantan membabitkan Kampung Pandan, Cenderawasih, Kampung Belakang Giant, Gudang Rasau, Inderapura, Sri Damai dan Jaya Gading.
Program Jejak Asnaf Fakir Miskin ini memberi peluang dalam kalangan warga universiti untuk turun padang menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti bantuan bekalan makanan, pencucian dan bantuan peralatan baju raya untuk mereka merasai kegembiraan menjelang Syawal nanti tatkala umat Islam menyambut Hari Raya.
Segala persiapan sumbangan diselaraskan menerusi Jawatankuasa Kebajikan di Jabatan Pendaftar dengan digerakkan pihak Persatuan Matahari yang giat mengumpul sumbangan daripada pihak korporat dan orang ramai yang berhasrat membantu golongan yang memerlukan.
Usaha ini juga merupakan salah satu program yang dijalankan dalam usaha mendekati masyarakat sekitar di mana universiti bukan sahaja berperanan melahirkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang malahan turut bertanggungjawab menyumbang ilmu dan kepakaran dalam pembangunan komuniti setempat.