UMP terima sumbangan 30 Ribu Zakat Bank Islam
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyumbangkan zakat sebanyak RM30 ribu kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Majlis Penyerahan Zakat Bank Islam yang diadakan di Dewan Tun Fatimah, Kompleks Pentadbiran Utama UMP Kampus Gambang pada 7 Ogos 2014 yang lalu.
Keprihatinan BIMB dalam melunaskan kewajipan sosial korporatnya dengan menyalurkan sumbangan zakat untuk dimanfaatkan oleh para asnaf dari kalangan warga mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan adalah amat dihargai oleh pihak UMP.
Penyaluran sumbangan zakat ini membolehkan pengurusan keperluan asas dan kebajikan para mahasiswa UMP dapat dipantau dan dimanfaatkan pelajar bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian mereka di universiti ini.
Pihak pengurusan UMP sentiasa berusaha mencari jalan dan membantu meringankan beban serta kesukaran yang dihadapi para pelajar untuk menangani kos sara hidup yang agak tinggi di kampus.
Situasi seperti ini perlu dibantu dan sekiranya dibiarkan berterusan, dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada aras pencapaian akademik mahasiswa tersebut dan melarat pula kepada masalah-masalah yang lain.
Dalam pada masa yang sama, pihak BIMB turut menyarankan agar UMP dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan Bank Islam dalam mewujudkan aset wakaf atau endowmen untuk dimanfaatkan bersama apatah lagi masyarakat Malaysia cenderung terhadap pemberian sumbangan.